Friday, January 4, 2019

Tahun Baru 2019

Bismillah.

Assalamualaikum.

Selamat Tahun Baru 2019.

Posting pertama sempena tahun baru. Moga tahun ini lebih baik dan produktif dari tahun-tahun sebelumnya, diisi dengan penuh kebijaksanaan dan ketaqwaan.

Hidup ini hanya sementara. Penuhilah dada-dada kita dengan ilmu yang berguna, bersahabat dengan teman-teman yang mengingatkan kita untuk taat kepada Allah, jauhilah dari kata-kata dan perbuatan yang sia-sia.

Balaslah kejahatan dengan kebaikan. Jangan membalas kebodohan dengan kebodohan, kerana ia tidak menghasilkan apa-apa bahkan ia merugikan diri sendiri akhirnya.

Kuatkan azam untuk sentiasa berubah menjadi insan yang lebih baik dari hari sebelumnya. Carilah jalan untuk mencintai dan mengenali ma'rifat Allah dengan jalan yang benar dan berpandukan Al-Qur'an dan Hadith, bukan dengan hanya menggunakan akal logik semata.

Persiapkanlah diri kita untuk menghadapi kematian yang bisa sampai kepada kita bila-bila masa, yang sengaja dirahsiakan oleh Allah ta'ala agar kita sentiasa bersedia untuk menghadapinya. Ingatlah mati sentiasa kerana ia akan melembutkan hati yang keras.

Jauhilah melihat perkara yang mungkar dan mendengar muzik atau kata-kata yang lagha, kerana mata dan telinga kita ini merupakan jendela kepada hati kita. Jaga hati sentiasa dengan menitipkan zikrullah sentiasa samada dalam hati mahupun bibir. Jangan sesekali biarkan syaitan dan iblis menipu kita dengan keindahan dunia yang sementara.

Jauhilah khayalan yang melampau sehingga menyebabkan dirimu semakin terleka daripada mengingati asal-usul kamu ada di muka bumi ini. Jauhilah perkara yang boleh melekakan hatimu dari berbuat kebaikan. Kerana berbuat kebaikan itu mudah, tetapi untuk mengelakkan perkara maksiat itu sangat sukar.

Maka perbanyakkanlah doa, merintihlah pada Allah ta'ala dengan menjaga adab tika berdoa. Berdoalah supaya Allah sentiasa menunjukkan jalan yang benar untuk memperoleh keredhaan-Nya.

Salam tahun baru,
Kematian semakin mendekat dengan kita.
Moga terus istiqamah dan dilapangkan dada untuk sentiasa menjaga iman kita.

Wassalam.

B.B.N.

No comments: