Wednesday, October 5, 2016

Lelaki itu Macam Aku Kenal

Ghaddul bashar

Manusia selalu mudah lupa dengan dosa yang telah dia lakukan. Misalnya, tidak menundukkan pandangan. Sedangkan dia sendiri tahu bahawa melihat perkara yang tidak sepatutnya itu boleh menggelapkan hati.

Walaupun dia menjaga solatnya di awal waktu atau berjemaah, tilawah berbelas belas muka surat setiap hari, dan sewaktu dengannya, tapi bilamana dia tidak menundukkan pandangannya, misalannya melihat seorang lelaki asing yakni ajnabi, maka telah jatuhlah berderai segala amalannya.

Mungkin kelihatan syadid. Tapi, kenapa dengan amalan yang banyak itu tidak mampu mengguggurkan perasaan atau sikap untuk melihat lelaki ajnabi? Sedangkan kita sndiri tahu bahawa pandangan pertama itu peluang. Pandangan kali kedua dan ketiga itu adalah berdasarkan nafsu semata jika tidak ada sebab yang kukuh. 

Adakah dia jadi begitu, tidak ghaddul bashar kerana amalannya? Mungkin kerana salah amalannya, amalannya sudah bagus, cuma niat di hati pelaku amalan itu yang tidak benar dan jelas. Mungkin pelaku amalan itu mendirikan segala amal ibadah untuk menunjuk-nunjuk atau riyak di hadapan orang lain.

Sebenarnya perkara sekecil inilah yang seringkali membantutkan kehidupan seorang mukmin. Riyak yang merupakan syirik kecil itu mampu merosakkan sekeping hati yang suci sedikit demi sedikit tanpa manusia itu sedar, sehingga mampu menghitamkan seluruh hati pelakunya jika tidak dibersihkan selalu.

Sungguh benar hadis nabi s.a.w yang memberikan kefahaman kepada kita bahawa dalam hati manusia itu, ada seketul daging yakni hati. Kalau baiklah hatinya, maka baiklah dan berbahagialah seluruh anggota badannya.

Umpamanya, apabila hati kita awal-awal sudah buat silap dengan berniatkan tidak ikhlas kerana Allah dalam melakukan suatu amal ibadah atau pekerjaan, maka segenap anggota badan kita juga akan terkesan sama. Contoh kesannya, ya, tidak menundukkan pandangan dengan sebaiknya.

Mungkin sesetengah orang mengatakan bahawa melihat lelaki ajnabi itu adalah perkara biasa, tidak salah pun. Sekadar main mata, tengok seorang lelaki dengan perasaan takjub, gembira berlebihan tanpa ada batasan itu biasalah kan. Tapi sebenarnya tidak, wahai. Sebenarnya perkara itulah yang menyebabkan hati dan iman kita jadi semakin kering segersang-gersangnya dan susah untuk kita buat amal ibadah yang lain. 

Maka, berhati-hatilah dengan segenap perkara yang kita lakukan.
Ingatlah, setiap kali sebelum kita mulakan sesuatu, tetapkanlah hati untuk buat apa-apa perkara hanya kerana Allah ta'ala. bukan kerana manusia. 

"Ya muqallibal quluub, tsabbit quluubana 'ala diinika wa 'ala to'atik."

Nota kaki: 
- lelaki ajnabi ialah lelaki asing, yang bukan suami atau bukan mahram kita. 


5 oktober 2016
Keseorangan
6.40 pagi

No comments: